KEGAGALAN mengadakan hubungan seks dengan pasangan bukan sahaja mengecewakan lelaki tetapi turut dialami oleh isteri kerana mereka terasa seolah-olah dipinggirkan apabila suami mengelak untuk mengadakan hubungan asmara.
Situasi ini sering berlaku di kalangan pasangan yang mempunyai suami mengalami masalah disfungsi erektil (ED) atau mati pucuk.
Isteri turut berkongsi reaksi negatif suami terhadap ED seperti rasa resah, malu, bersalah, marah dan murung.
Kekurangan
Lebih buruk lagi, bilangan lelaki yang menghidap ED dan mengaku terlalu payah berterus-terang dengan isteri masing-masing atau berjumpa doktor kian meningkat.
Malah sesetengahnya lebih suka tidak memaklumkan kekurangan tersebut kepada pasangan mereka.
Perkara tersebut didedahkan oleh pakar kesihatan seks, Dr. Ismail Tambi pada ceramah kesihatan anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) baru-baru ini.
“Ramai tidak menyedari ED sejenis penyakit yang melibatkan kedua-dua pasangan dan masing-masing mempunyai peranan menangani masalah tersebut.
“ED ditakrifkan sebagai kegagalan konsisten untuk mencapai dan mengekalkan ereksi yang secukupnya untuk mengadakan hubungan seks.
“Kesan daripada kegagalan itu bukan sahaja mempengaruhi emosi pasangan, malah ia turut menjejaskan kerukunan rumah tangga,’’ ujarnya.
Kelemahan tersebut mempengaruhi kaum lelaki secara psikologi dan fisiologi menyebabkan kualiti kehidupan mereka merosot secara mendadak.
Dr. Ismail memberitahu, keintiman pasangan lebih berjaya jika kedua-duanya memanfaatkan masa bersama dengan mengadakan diskusi untuk menyelesaikan masalah.
“Kejayaan atau kegagalan hubungan seksual memberi kesan kepada pasangan. Jika hubungan seks
negatif, mereka resah dan tidak gembira. Sebaliknya jika berjaya, hubungan bertambah intim dan saling menghargai antara satu dengan yang lain,’’ jelasnya.
Bagaimanapun, katanya, hubungan seksual juga tidak akan berjaya jika pada asasnya tidak wujud keakraban antara pasangan.
“Apabila pasangan resah kerana tidak dapat menjalin hubungan intim, proses merancang hubungan seks berdasarkan rawatan ED tidak akan mengeratkan hubungan.
“Perancangan teliti sebelum berasmara bukan sesuatu yang biasa dilakukan oleh pesakit ED, khususnya dalam masyarakat Asia di mana naluri keinginannya datang secara semula jadi,’’ katanya.
Beliau berkata, faktor usia bukan penghalang kepada pasangan menjalin hubungan intim.
“Ada yang beranggapan orang yang sudah mencecah usia 40-an kehilangan nafsu seks atau mereka tidak dapat melakukannya secara fizikal.
“Sebaliknya warga yang lebih tua mahukan seks dan boleh menikmati kehidupan seks yang aktif dan memuaskan.
“Tidak ada usia yang terlalu tua untuk hubungan romantik dan berasmara. Pasangan-pasangan wajar mencari kesempatan untuk menyemarakkan semula hubungan intim mereka,” katanya.
Langkah sebaiknya, kata Dr. Ismail, ialah pasangan perlu berusaha untuk kelihatan menarik kepada satu sama lain, menunjukkan kasih sayang dan melakukan perkara-perkara kecil yang menggembirakan pasangan.
Sentuhan, katanya, memainkan peranan penting jika pasangan segan untuk berpelukan atau berkucup.
“Mereka juga boleh meminta orang lain menjaga anak-anak supaya mereka boleh keluar untuk temu janji romantik,’’ katanya.
Beliau turut menyarankan jika pasangan menghadapi masalah ED, ia tidak bermakna penamat kepada hubungan mereka.
Rawatan seperti suntikan ‘intracavernosal’, kaedah vakum, terapi ‘trans urethral’ dan ‘penile prosthesisi’ membolehkan ramai pasangan kembali menikmati hubungan intim.
“Rawatan-rawatan ini berfungsi sebagai perencat terpilih dan berkesan bagi membantu meregangkan sel otot licin dan meningkatkan aliran darah ke zakar.
“Ubat-ubat ini dapat memberi rangsangan seksual kepada suami untuk menjalankan hubungan dengan isteri,’’ katanya.
No comments:
Post a Comment