Oleh NUR HIDAYAH
Pada satu hari, Rasulullah S.A.W. menjenguk Fatimah yang sedang menggiling tepung. Rasulullah hairan kerana ketika itu baginda melihat anaknya itu menangis lalu bertanyakan sebabnya. Kepada baginda, Fatimah mengaku dirinya menangis kerana kesibukan tugasnya sebagai seorang suri rumah. Oleh itu, Fatimah memberitahu ayahnya bahawa dia ingin memiliki seorang pembantu bagi menolongnya melaksanakan kerja di rumah.
Mendengar kata-kata dan permintaan anaknya itu, Rasulullah berkata,
"Sesungguhnya Allah ingin mencatatkan kebaikan, menghapuskan keburukan dan mengangkat darjatmu jika engkau menunaikan tugas-tugas seharianmu sebagai seorang isteri."
Rasulullah bersabda lagi bahawa seorang wanita yang dapat berperanan sebagai isteri yang baik bagi suaminya, serta sebagai ibu yang baik bagi anak-anaknya, maka Allah memberinya darjat yang sangat mulia.
Dalam kesempatan lain baginda juga menjelaskan, jika seorang ibu meletakkan minyak di rambut anaknya dan kemudian menyikatnya serta mencuci pakaian mereka, maka pahala yang diperoleh laksana amalan memberi makan seribu orang yang lapar dan memberi pakaian seribu orang yang tidak mempunyai pakaian.
Sememangnya bagi sesetengah wanita yang bergelar isteri, mereka mungkin tidak menyedari bahawa setiap apa yang mereka lakukan dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang ibu atau suri rumah mempunyai rahmat yang cukup besar di sisi Allah.
Tetapi malangnya, kesibukan tugas di pejabat sering sahaja dijadikan alasan sehinggakan soal-soal rumah tangga, sesetengah isteri lebih selesa menyerahkannya kepada pembantu rumah atau orang gaji.
Nasihat yang diberikan oleh Rasulullah kepada Fatimah itu seharusnya dijadikan iktibar terbaik kepada kaum wanita yang bergelar isteri dan ibu.
Tanggungjawab mereka tidak pernah berakhir walaupun mereka sudah memegang jawatan tinggi dalam pekerjaan. Justeru adalah sesuatu yang malang jika ada di kalangan wanita itu yang menganggap soal menguruskan rumah tangga dan anak-anak hanyalah urusan duniawi tanpa menyedari betapa tinggi nilainya di sisi Allah.
Rasulullah juga pernah memberi contoh mengenai amalan mana yang lebih penting antara berjihad dengan menjaga orang tua di rumah. Contoh itu diberikan pada satu hari ketika Rasulullah sedang berkumpul dengan para sahabatnya dan di depan mereka lalu seorang pemuda yang gagah dan sasa.
Para sahabat berkata, "Alangkah bagusnya jika keperkasaan pemuda ini digunakan untuk berjihad di medan perang sabilillah."
Mendengar kata-kata para sahabatnya itu, Rasulullah bersabda, "Andainya pemuda itu masih mempunyai orang tua di rumah, ia lebih baik menggunakan kekuatannya untuk mengurus orang tuanya daripada berjihad. Atau, jika dengan keperkasaannya itu dia bekerja mencari nafkah buat dirinya sendiri agar tidak bergantung pada orang lain, itu jauh lebih baik daripada jihad."
Demikianlah hebatnya pembalasan Allah terhadap sesuatu pekerjaan yang baik tetapi kita memandang remeh terhadapnya. Justeru jadikanlah pesanan Rasulullah ini sebagai iktibar, agar kita benar-benar menjadi insan yang mencari kebahagiaan dunia demi
mencapai kesejahteraan di Akhirat.
Sebuah halaman blog yang mengenai info-info tentang wanita dari seusia remaja sehingga menjadi seorang ibu
Iktibar : Balasan Untuk Isteri Solehah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment