Secara umumnya, setiap isteri pasti ada keinginan atau keperluan yang amat penting dalam hidup mereka. Isteri biasanya memerlukan sesuatu daripada suaminya bagi melengkapkan hidupnya bersama suami dan seterusnya dapat melayari bahtera perkahwinan dengan bahagia. Apakah yang dimaksudkan dengan keperluan tersebut dan bagaimanakah caranya seorang suami melakukannya?
Inginkan perhatian
Seorang wanita mungkin sudah mendapat perhatian dan didikan daripada saudara mara, anak-anak, adik-beradik dan rakan-rakannya. Walau bagaimanapun, perhatian sebegitu tidak bermakna dan tidak dapat memuaskan hatinya sebagaia seorang isteri selagi mana dia tidak mendapat perhatian sebegitu rupa daripada suaminya sendiri. Oleh hal yang demikian, suami mestilah menujukkan sikap prihatin dan didikan yang mantap kepada isteri, sama ada melalui tutur kata atau perbualan, tingkah laku, riak muka, gerakan dan juga perasaannya. Apabila suami memberikan perhatian yang sepenuhnya kepada isteri, si isteri pasti akan berasa bahawa mereka mempunyai kedudukan yang istimewa dalam hidup suami. Keperluan inilah yang diperlukan dan amat didambakan oleh seorang isteri.
Ingin difahami
Suami perlu betul-betul memahami situasi dan keadaan isteri kerana reaksi sebeginilah yang akan mempengaruhi perasaan dan tingkah laku isteri. Hal ini kerana, isteri menganggap suaminya faham akan keperluan kewanitaannya dan faham situasi yang dihadapinya sebagai seorang wanita dan juga sebagai seorang isteri. Cara terbaik untuk seorang suami menghadapi keadaan ini adalah dengan membuatkan isteri berasa dihormati dan disanjungi. Suami tidak boleh melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan konflik atau krisis akibat daripada ketidakfahaman suami. Lebih-lebih lagi semasa isteri berada dalam situasi yang kurang stabil seperti masalah ketika datang haid, nifas atau penyakit-penyakit lain yang boleh mempengaruhi perilaku dan emosi seorang wanita. Suami juga dinasihatkan agar tidak meminta atau memerintah isteri untuk membuat sesuatu yang di luar kemampuannya. Cubalah untuk memahami dirinya dengan lebih mendalam.
Ingin haknya dipenuhi
Setiap insan pasti mempunyai hak untuk bersuara dan melakukan apa sahaja yang memang menjadi haknya setiap masa. Namun begitu, mengapa masih ada sesetengah suami yang melarang isterinya untuk mendapatkan hak tersebut? Bukankah isteri juga seorang manusia, yang juga mempunyai perasaan yang perlu diketahui oleh suami? Isteri harus memperoleh hak-hak tersebut walaupun kadangkala hak tersebut disekat dan dilarang oleh suami yang tidak mempunyai pengetahuan terhadap keperluan dan hak itu. Setiap pasangan suami isteri tidak boleh menyekat hak pasangan mereka apabila mereka sudah ditakdirkan untuk bersama dalam ikatan perkahwinan.
Apabila keperluan yang didambakan isteri ini dipenuhi oleh suami, sudah pasti kehidupan berumahtangga pasti akan lebih berseri-seri dan menyebabkan isteri berasa begitu dihargai dan dihormati. Inilah yang menjadi impian dan harapan setiap insan yang bergelar isteri iaitu untuk memiliki seorang suami yang sanggup berkorban apa sahaja demi memenuhi keperluan dirinya.
3 Perkara Yang Diperlukan Oleh Suami
Suami merupakan seorang lelaki yang kelihatan kuat dan tegas dari luarannya, namun pasti ada sisi lembut atau sisi dalamannya yang memerlukan sesuatu daripada isterinya bagi memenuhi keperluan dirinya. Semua keperluan ini penting untuk setiap isteri tahu dan ambil berat agar suami dapat memberikan kasih sayang sepenuhnya dan tidak berbelah bahagi kepada mereka.
Kepercayaan
Suami amat memerlukan kepercayaan dan penghormatan daripada seorang isteri terhadap dirinya Hal ini kerana, semua pengorbanan yang dilakukan oleh suami adalah bertujuan untuk mendapatkan penghormatan dan kepercayaan daripada isterinya sendiri. Semua pengorbanan tersebut semestinya memerlukan masa, tenaga dan fikiran yang banyak daripada suami. Jadi, tiada salahnya untuk suami mendapat kepercayaan daripada isterinya sendiri. Namun, jika isteri masih tidak sedar akan keperluan untuk mempercayai suaminya sendiri, sudah tentu ini akan merosakkan semua rancangan suami yang menaruh harapan kepada isteri untuk mempercayainya.
Penghargaan dan pujian
Sebagai seorang suami, dia semestinya bekerja dengan tekun dan bersungguh-sungguh bagi memenuhi keperluan kebendaan dengan anggapan bahawa dia melakukan semua ini hanyalah untuk isterinya. Semua pemberian ini yang diberikan oleh suami semata-mata untuk membahagiakan isteri dan keluarganya dengan sentiasa memberikan perhatian dan perlindungan kepada mereka sepatutnya diberikan penghargaan oleh isteri. Tunjukkanlah penghargaan dan pujian kepada mereka atas segala yang telah mereka lakukan. Seorang isteri perlu menunjukkan rasa terima kasih kepada suami, mengakui segala ucapan dan perbuatan suami dengan baik, serta menghargai pendapat, fikiran dan cadangannya. Jangan sekali-kali mengatakan bahawa dia langsung tidak pernah memberikan apa-apa dalam perhubungan mereka.
Sokongan dan kata-kata semangat
Seorang lelaki sebagai suami sentiasa mahu menjadi seorang ketua yang kuat dan tegas seperti yang diingini oleh isteri. Suami akan sentiasa berusaha untuk mempertahankan sifatnya ini di mata isteri. Namun, untuk mengekalkannya sifatnya itu, suami memerlukan sokongan dan kata-kata semangat daripada isterinya untuk mereka terus kuat dan tabah bagi mengurus dan mempertahankan keluarganya. Dorongan semangat yang diberikan oleh isterinya akan menguatkan tekadnya untuk sentiasa tabah, mendorongnya dalam menghadapi segala rintangan dengan pendirian yang kuat untuk terus berjaya. Apabila suami menghadapi saat-saat kegagalan, teruslah berada di sisinya dan berkata kepadanya bahawa dia telah melakukan yang terbaik dan termampu untuk kebahagiaan mereka. Dengan sokongan dan kata-kata semangat yang diberikan oleh isteri, suami akan bertambah semangat dan gigih bekerja demi keluarga tercinta.
Oleh hal yang demikin, teramatlah penting buat seorang isteri untuk terus berada di samping suami tidak kira ketika senang atau susah. Berikanlah kata-kata semangat dan sokongan sepenuhnya dalam setiap perkara yang dilakukan suami. Mereka sangat memerlukan sokongan daripada isteri mereka sendiri kerana semua perkara yang dilakukan oleh suami hanyalah untuk kesempurnaan dan kebahagiaan perkahwinan mereka juga.
No comments:
Post a Comment