Sebuah halaman blog yang mengenai info-info tentang wanita dari seusia remaja sehingga menjadi seorang ibu
Kewangan wanita
WANG setinggi gunung pun boleh habis dalam sekelip mata jika silap perancangan. Kerana wang itu penting dalam menjamin kesejahteraan hidup individu dan keluarga, maka dalam memastikan kedudukannya sentiasa stabil dan kukuh, seseorang harus tahu merancang kewangan secara bijak kerana kesannya amat tidak disukai jika tahap kewangan seseorang itu lemah.
Kebanyakan kita menyediakan belanjawan sendiri untuk membahagi-bahagikan perbelanjaan bulanan agar tidak 'terbabas' daripada pendapatan yang diperoleh setiap bulan.
Malah, ramai juga berbelanja lebih daripada kemampuan sehinggakan pada hujung bulan didapati perbelanjaan telah melebihi pendapatan.
Oleh itu, orang ramai khususnya wanita mengetahui dengan lebih mendalam tentang bagaimana menguruskan kewangan keluarga.
Tambahan pula, kebanyakan wanita atau suri rumah mempunyai kepakaran menjadi seorang perancang keluarga yang baik.
Wartawan RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH dan jurugambar HALIM KHALID menemubual Pengurus Akademi Usahawan Utama, (AUU), Marina Yusoff bagi mengupas pentingnya merancang kewangan.
MEGA: Apakah perkara asas yang perlu diketahui sebelum seseorang itu membuat perancangan kewangan?
MARINA : Perancangan kewangan yang betul memerlukan asas pengetahuan mengenai wang itu sendiri dan mengenal pasti senario serta faktor sekeliling yang mempengaruhi tabiat menggunakan wang yang dimiliki.
Untuk merancang kewangan, kaum wanita perlu berpengetahuan, bertanggungjawab dan berdisiplin terhadap pelan kewangan yang dipilih, sama ada melalui nasihat pakar kewangan atau yang dibuat sendiri.
Katanya, bagi wanita bekerja yang mencarum kepada Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) dan mengharapkan caruman KWSP untuk membiayai hidup selepas bersara, mereka perlu fikir berkali-kali untuk tidak merancang kewangan.
Mengapa kaum wanita sama ada yang berkerja atau pun suri rumah perlu mengurus kewangan?
MARINA : Kaum wanita harus berani merebut peluang daripada ruang-ruang pelaburan yang wujud di dalam negara, tidak kira ia bon, saham amanah, sekuriti hutang atau sebagainya.
Perancangan kewangan perlu untuk mengurus duit, persaraan, mengelakkan perangkap hutang kad kredit, mendidik anak-anak bagaimana untuk menabung, melabur dan sebagainya.
Selain itu, hidup bersendirian kerana faktor penceraian juga memerlukan wanita perlu bijak mengurus kewangan mereka.
Contohnya, insurans atau pelaburan amat penting untuk wanita khususnya ibu tunggal atau balu. Jika kematian suami, keluarga bergantung sepenuhnya kepada ibu.
Kewangan dari sumber inilah yang membantu ibu tunggal membiayai keluarga.
Tambahnya, dalam keadaan tertekan seperti itu, banyaklah wanita yang hilang punca dan mencari jalan mudah menampung keperluan kewangan menyebabkan ada yang meminjam dengan ceti haram atau menceburi skim cepat kaya.
Namun, katanya, semua itu boleh diatasi jika wanita merancang kewangan daripada awal, sama ada mereka bekerja atau tidak kerana ia boleh menjamin kedudukan kewangan yang lebih stabil jika berlaku penceraian atau kecelakaan lain.
Pelaburan merupakan salah saru perancangan kewangan yang baik, bagaimana caranya untuk merebut peluang-peluang pelaburan yang ada?
MARINA : Satu saja jalannya iaitu dengan mempunyai pengetahuan mengenai produk pelaburan, risiko dan pulangannya.
Pelaburan merupakan jaminan masa depan. Ia adalah cara terbaik untuk hidup selesa pada usia emas yang dianggarkan lebih lama daripada usia pasangan iaitu kaum lelaki.
Apabila wanita hidup lebih lama,
maka tinggilah kebarangkalian untuk wanita menyara hidup secara bersendirian pada satu peringkat kehidupan mereka.
Wanita sering dikaitkan dengan pelbagai penyakit, adakah perancangan kewangan itu membantu kaum wanita menghadapi situasi ini?
MARINA : Soal penjagaan kesihatan memerlukan belanja yang cukup mahal dan ini mengalakkan kaum wanita merancang kewangan secara bijak.
Wanita harus sedar jenis penyakit moden begitu kompleks dan kos yang tinggi, malah boleh menyebabkan kematian yang lebih awal.
Kalau kita meninggal dunia dan ada harta pusaka pula, soal pembahagian harta akan timbul. Jadi, jangan lupa untuk meletakkan hibah dan wasiat dalam pelan kewangan kita.
Bagaimana seseorang itu boleh menjamin pelan kewangan yang baik?
MARINA : Untuk menjamin pelan kewangan yang baik, sumbernya
perlu ada dan di sinilah kebijaksanaan membuat pelaburan yang mendatangkan pulangan maksimum terserlah.
Bijak membuat pelaburan akan menjamin sumber kewangan yang mencukupi bagi keperluan semasa dan masa depan, untuk diri sendiri dan keluarga, malah ekonomi negara.
Jadi, pelajarilah ilmu pengetahuan sebanyak mungkin mengenai dunia kewangan.
Justeru itu, mereka yang ingin
mendapat khidmat nasihat atau mengikuti seminar perancangan kewangan khusus untuk wanita boleh menghubungi AUU.
Kenapa wanita perlu merancang kewangan?
* IKUT kajian, hayat wanita lebih panjang daripada lelaki. Oleh itu, wanita perlu merancang kewangan untuk menghadapi tempoh persaraan dengan lebih selesa.
* CABARAN ekonomi sekarang lebih tinggi, wanita perlu bijak merancang ekonomi diri dan keluarga dengan lebih berkesan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment