Pages

 photo sddf_zps85c1ecb0.jpg

Terkini : Hukuman Sebat Wanita


Petikan dari mingguan wanita

Rentetan dari kes itu, Majlis Perundingan Wanita Islam Malaysia (MPWIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) mengambil inisiatif membincangkan permasalahan itu melalui “Forum Undang-undang Islam dan Hukuman Sebat Wanita” yang bertujuan untuk memberi maklumat-maklumat berkenaan kedudukan dan hukuman sebat wanita dalam Syariah Islam dan undang-undang di Malaysia. MW kali ini memaparkan isu yang di rungkai dalam forum yang menampilkan tiga orang panel iaitu Prof Madya Dr. Nasimah Hussin, Datin Dr. Paizah Ismail Dr. Jasri Jamal

Hukuman utama cegah jenayah
Menurut pensyarah di Kuliyyah Undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Madya Dr. Nasimah Hussin tiada peruntukan
khusus yang melarang mahkamah syariah untuk menjatuhkan hukuman sebat ke atas wanita. Tambahan pula undangundang Islam itu sendiri tidak membeza-bezakan hukuman antara lelaki dan wanita. Bidang kuasa mahkamah syariah diguna pakai bagi kesalahan yang melibatkan perkahwinan, kesusilaan seperti berzina, berkhalwat, menukar jantina, minum arak, kerohanian dan ibadah Muslim, bertukar agama, Qazaf (menuduh zina) dan kesaksian palsu. Ia hanya terpakai di kalangan orang Islam. Manakala kesalahan mencuri, merompak, membunuh berada di bawah bidang kuasa mahkamah sivil. Undang-undang negeri tidak boleh berlawan dan ia perlu mematuhi undang-undang persekutuan.

Di bawah Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) 1965 (pindaan) 1984 memberi bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman denda tidak melebihi RM5000, penjara tidak melebihi tiga tahun dan sebatan tidak melebihi 6 kali sebatan atau gabungan mana-mana hukuman. “Hukuman penjara begitu besar kesannya kepada pesalah syariah apatah lagi ia tidak melibatkan mangsa. Misalnya meminum arak, di manakah mangsanya? Berbalik kepada hukuman sebat syariah, ia tidak melibatkan perpisahan di antara suami, isteri mahupun anak-anak.

“Berbanding hukuman penjara ia bukan sahaja memisahkan sesebuah keluarga malah menyebabkan pesalah menanggung beban emosi yang berpanjangan seperti hilang pekerjaan,” ujarnya ketika membentangkan kertas kerjanya baru-baru ini. “Hukuman denda pula kurang memberikan kesan untuk mencegah kes jenayah kerana bagi sesetengah golongan, mereka tidak bermasalah untuk menjelaskan denda terbabit, sedangkan orang miskin yang tak dapat membayarnya, terpaksa masuk penjara. Jadi, undang-undang ini tidak boleh mencegah. Justeru saya menyarankan sebatan dijadikan hukuman utama untuk mencegah jenayah,” sambungnya lagi.

Sudah diguna pakai sejak zaman Rasulullah
Pensyarah di Kuliyyah Undang-undang UIAM, Prof Madya Datin Dr. Paizah Ismail menjelaskan hukuman sebat yang dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah bukanlah satu hukuman mati untuk pesalah. Cara hukuman sebat telah pun diguna pakai sejak zaman Rasulullah s.a.w dan pelaksanaannya perlu diteruskan sehingga hari ini. Tambahnya, hukuman sebat bukanlah satu tatacara yang mudah kerana ia perlu menjamin satu pelaksanaan hukuman yang benar-benar adil, tidak memudaratkan apatah lagi mencederakan dan mencapai objektif yang telah digariskan oleh Islam itu sendiri iaitu bertujuan mendidik, memberi pengajaran dan keinsafan kepada pesalah.

Walau bagaimanapun, hukuman sebatan yang dilaksanakan itu haruslah diikuti dengan rasa penuh keinsafan dan taubat yang ikhlas daripada pesalah itu sendiri ke atas setiap kesalahan yang dilakukan. Dia perlu memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh. Hukuman sebat syariah juga tidak memberi kesan emosi sehingga memalukan seseorang pesalah. Pertikaian mengenai tempat hukuman dilaksanakan juga diperjelaskan olehnya. Islam begitu indah. Hukuman sebat syariah itu mengikut cara yang dilaksanakan ketika zaman Rasulullah. Di situlah terletaknya kemanisan Islam yang mana pelbagai tatacara perlu dijaga sebelum sampai kepada hukuman sebat.

Misalnya, tempat hukuman tidak didedahkan kepada umum sebaliknya hanya dilaksanakan di kalangan sekumpulan orang mukmin, pesalah wanitanya dalam keadaan duduk ketika disebat malah perlu memelihara auratnya. Jelas di sini walaupun mereka bersalah, Islam tetap menghukum mereka dengan cara yang terhormat. Oleh itu, semua pihak seharusnya memahami terlebih dulu konsep sebatan dalam Islam sebelum membuat sebarang justifikasi. Masyarakat perlu membuang persepsi sebat dalam undang-undang konvensional, kerana ia jauh berbeza.

Terdapat kekaburan
Manakala, pensyarah di Fakulti UndangUndang Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Jasri Jamal menjelaskan tiada peruntukan spesifik dalam enakmen, akta atau ordinan Tatacara Jenayah Syariah yang mengecualikan pesalah perempuan dan lelaki berusia lebih 50 tahun dikenakan sebatan. Kebanyakan daripada undangundang berkaitan sebat syariah yang dilaksanakan di Wilayah Persekutuan dan Kelantan menyamai dengan yang diguna pakai di Pakistan.

Walau bagaimanapun, terdapat kekaburan dalam prosedur sebatan Mahkamah Syariah misalnya alat sebatan, tempat yang tidak meletakkan tatacara, masa, kategori orang yang melaksanakan sebatan iaitu seorang yang adil. Bagaimana hendak menilai seorang yang adil? Begitu juga dengan pakaian yang menutup aurat yang bagaimanakah yang dimaksudkan. Adakah tebal sehingga tidak memberi kesan sebatan pada pesalah? Ulasnya lagi, masih wujud kekaburan tatacara hukuman sebatan oleh mahkamah syariah walaupun ada prosedur sebatan yang seragam. Isu sebegini sebenarnya boleh diatasi sekiranya ada kerjasama dari semua pihak.

No comments: